Now Reading
Apa itu Initial Coin Offering (ICO)?

Apa itu Initial Coin Offering (ICO)?

what is ico-techcryption

Initial Coin Offering (ICO) adalah cara baharu untuk mengumpul dana dengan menggunakan kripto token atau coin. Kebiasaannya, ICO digunakan untuk mengumpulkan modal oleh syarikat atau startup.

Untuk menawarkan ICO, sesebuah syarikat atau startup perlu mencipta token atau coin dengan menggunakan platform teknologi blockchain. Bitcoin dan Ethereum adalah antara platform yang sering digunakan kerana kebolehannya untuk mencipta token tersendiri.

Setelah token atau coin dihasilkan, syarikat atau startup akan membuka tawaran awam untuk ICO mereka. Token atau coin baharu itu akan ditawarkan kepada pelabur untuk dibeli menggunakan kriptowang sedia ada seperti Bitcoin atau Ether.

APAKAH PERBEZAAN ANTARA INITIAL COIN OFFERING (ICO) DENGAN INITIAL PUBLIC OFFERING (IPO)?

Walaupun ICO dan IPO hampir serupa, perbezaan paling ketara adalah pelabur ICO tidak akan memiliki hakmilik atau ekuiti syarikat atau startup yang dilaburkan. Akan tetapi, pulangan pelabur adalah dalam bentuk produk ataupun perkhidmatan yang ditawarkan. Selain dari itu, para pelabur berharap nilai token atau coin yang dibeli akan lebih tinggi berbanding nilai awal pembelian.

  1. KAWALAN PIHAK BERKUASA
    • IPO – Apabila sesebuah syarikat hendak membuka tawaran IPO, syarikat tersebut hendaklah berurusan dengan pihak berkuasa dan mengeluarkan dokumen rasmi iaitu prospektus.
    • ICO – Syarikat atau startup tidak perlu berurusan dengan pihak berkuasa ataupun memerlukan dokumen rasmi. Mereka hanya memerlukan White Paper ataupun Kertas Putih untuk memberikan maklumat dan tujuan ICO ditawarkan. Namun demikian, Kertas Putih bukan sesuatu yang mandatori.
  2. KREDIBILITI
    • IPO – Sesebuah syarikat harus mempunyai rekod prestasi yang baik dan disahkan oleh firma perakaunan profesional.
    • ICO – Syarikat atau startup tidak memerlukan rekod prestasi yang lepas dan tidak perlukan apa-apa pengesahan dari pihak berkuasa.
  3. TEMPOH
    • IPO – Tempoh penyediaan IPO memakan masa yang agak lama kerana melibatkan proses undang-undang.
    • ICO – Tempoh penyediaan IPO pula bergantung pada projek tanpa melibatkan proses undang-undang mahupun pihak berkuasa. Tempoh tawaran ICO pula bergantung kepada had jualan dan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan.
  4. KUMPULAN SASARAN
    • IPO – Sasaran IPO lebih fokus kepada institusi pelaburan seperti bank dan sedikit mengutamakan pelabur biasa.
    • ICO – ICO pula terbuka kepada semua dan hanya memerlukan modal kriptowang yang diperlukan.

APA PULA TOKEN DAN COIN?

Untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam memahami dunia krypto, ramai yang keliru dengan token dan coin. Ada pula yang menganggap keduanya adalah sama, itu adalah tidak tepat.

TOKEN

Token dicipta berdasarkan platform teknologi blockchain sedia ada dan boleh dicipta oleh sesiapa sahaja. Token yang umum biasanya dihasilkan oleh platform Ethereum dan dikenali sebagai token ERC-20.

Token kebiasaannya wujud untuk aplikasi decentralized atau dApps, dengan kata lain aplikasi yang tidak dikawal secara pusat. Token juga mempunyai fungsi dan kelebihan yang berbeza bergantung kepada aplikasi yang menggunakannya.

COIN

Coin adalah aset yang dihasilkan bersama platform teknologi blockchain seperti Bitcoin, Ether atau Litecoin. Coin digunakan sama seperti matawang fizikal, seperti jual beli, simpanan dan pelaburan. Ianya bukan sesuatu yang aneh melakukan transaksi menggunakan coin pada zaman kini.

10 ICO TERBESAR

Menurut satu laman pemerhati, COINIST.IO, berikut adalah 10 ICO yang mendapat dana tertinggi setakat ini:

  1. Filecon [Futures] – $257,000,000
  2. Tezos – $232,000,000
  3. SIRIN LABS Token – $157,885,825
  4. Bancor – $153,000,000
  5. Status – $108,000,000
  6. QASH – $105,000,000
  7. Aragon – $73,000,000
  8. Bankex – $70,600,000
  9. TRON – $70,000,000
  10. DomRider – $65,890,000

RISIKO DALAM ICO

Menurut satu ulasan yang pernah dilakukan oleh The Wall Street Journal pada tahun 2018, terdapat 1,450 ICOs dan 20 peratus dikenalpasti sebagai bermasalah. Ini melibatkan plagiat dokumen, ahli jawatankuasa syarikat palsu dan pulangan terjamin.

See Also

Bitcoin.com melaporkan pada tahun 2017, 46 peratus ICO gagal beroperasi walaupun Berjaya mengumpul dana lebih $104 juta. Antara faktor kegagalan ICO adalah skim penipuan, masalah pengurusan, kurang dana cair, dan menghilangkan diri.

Jika anda ingin melabur dalam ICO ada beberapa perkara yang anda harus ambil perhatian;

  1. Pastikan pemaju syarikat atau startup menyatakan tujuan mereka dengan jelas. Kebiasaannya, ICO yang berjaya mempunyai White Paper yang jelas dan telus.
  2. Kenali mereka lebih dalam. Pelabur harus sentiasa berwaspada dan meneliti syarikat atau startup yang menawarkan ICO seperti projek terlibat, pelan perniagaan, lokasi pejabat dan sebagainya.
  3. Pastikan anda memahami terma dan syarat yang ditawarkan dan dapatkan nasihat pakar jika perlu. Ini kerana ICO tidak mempunyai kawalan undang-undang yang ketat dan anda mungkin terdedah dengan penipuan.
  4. Pastikan dana ICO disimpan dalam akaun eskrow untuk tujuan keselamatan yang lebih terjamin.

KAWALAN DAN REGULASI TERHADAP ICO

Antara isu yang sering diketengahkan terhadap ICO adalah isu kawalan dan regulasi pihak kerajaan sesuatu negara. Contohnya, Korea Selatan dan China mengenakan kawalan yang ketat terhadap ICO berdasarkan peningkatan risiko penipuan terhadap pelabur. Malah, ICO juga mempunyai potensi untuk disalahguna seperti skim Ponzi/Piramid, skim ‘pump and dump’ dan ‘money laundering’ atau pengubahan wang haram.

China merupakan negara yang melarang penggunaan ICO dalam sesebuah organisasi ataupun individu. Mengikuti langkah China, negara-negara seperti Nepal, Bangladesh, Macedonia, Bolivia, Pakistan, Algeria dan Morocco mengambil tindakan untuk melarang atau mengenakan kawalan ketat terhadap ICO.

Namun yang demikan, terdapat juga beberapa buah negara yang membenarkan pelaksanaan ICO tetapi dengan kawalan dan regulasi dari pihak kerajaan seperti Russia, Singapura, Amerika Syarikat, Perancis dan Thailand.

Kesimpulannya, ICO adalah satu cara yang dapat membantu pembentukan sesuatu idea ataupun projek secara alternatif berbanding cara konvensional. Malaysia pula meletakkan Suruhanjaya Sekuriti untuk memberikan panduan dan menetapkan keperluan untuk ICO beroperasi secara sah.

What's Your Reaction?
Angry
0
Confused
0
Excited
0
Happy
0
Okay
0
Sad
0

© 2019 Issue Magazine Wordpress Theme. All Rights Reserved.

Scroll To Top