Now Reading
Peluang Kembangkan Perniagaan Menerusi ‘Blockchain’

Peluang Kembangkan Perniagaan Menerusi ‘Blockchain’

CYBERJAYA 6 Nov. : Ahli perniagaan dan keusahawanan di negara ini perlu keluar daripada kepompong keselesaan dengan mengaplikasikan teknologi blok rantai (blockchain) dalam bisnes mereka.

Hal ini adalah berikutan teknologi yang dicipta seiring kewujudan Bitcoin itu bakal memberi impak besar kepada kecekapan perniagaan kerana ia menjimatkan masa; mengurangkan kos dan risiko; serta meningkatkan kepercayaan (trust).

El Lee, Ketua Pegawai Operasi Onchain Custodian, iaitu sebuah firma yang menawarkan perkhidmatan penjagaan aset digital buat institusi dan pelabur yang diiktiraf, memberitahu bahawa kadar rendah dalam pelaksaan blok rantai yang  disusuli dengan pertumbuhan tinggi, memberi isyarat potensi besar bagi industri itu.

“Blok rantai adalah teknologi futuristik. Mereka (ahli perniagaan) perlu mempertimbangkan teknologi ini dan mula mengadaptasi dalam bisnes mereka, jangan tunggu lagi! Internet mengambil masa 20 tahun daripada 36 juta pengguna pada 1996 hingga mencapai bilangan pengguna aktif seramai 4.3 bilion pada 2018.

“Oleh itu, jika anda ingin menjadi perintis dalam industri ini serta berjaya memperoleh seramai pengguna yang mungkin, maka anda perlu bertindak sekarang,” kata El dalam sesi perkongsian ‘Introduction to Blockchain, Token Economy and Safekeeping of Digital Assets’ yang bertempat di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Cyberjaya.

Antara industri yang kini giat memanfaatkan teknologi blok rantai adalah kewangan, insurans, kesihatan, hartanah, sektor awam serta kemudahan.

See Also

Dalam pada itu, teknologi blok rantai bertindak sebagai pangkalan data yang tidak boleh diubah dan dipercayai. Elemen sedemikian menjadikan teknologi itu bermanfaat dalam pelbagai senario dan industri. Digital aset juga memerlukan teknologi sama untuk melindunginya daripada digodam dan dicuri.

Di sini, Onchain Custodian memainkan peranan tersebut. El memberitahu, setakat ini firmanya menyokong beberapa aset digital antaranya termasuklah Bitcoin, Ethereum, Litecoin, Ontology dan NEO.

“Sebagai sebuah firma, kami tidak hanya fokus untuk menjana keuntungan, sebaliknya kami giat memacukan industri ini, membantu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. Dalam masa sama, kami juga mendekati beberapa agensi kerajaan untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai blok rantai,” jelas El.

What's Your Reaction?
Angry
0
Confused
0
Excited
0
Happy
0
Okay
0
Sad
0

© 2019 Issue Magazine Wordpress Theme. All Rights Reserved.

Scroll To Top