

Pengalaman hanya dua tahun dalam industri kewartawan belum cukup untuk…
Indie yang pada awal tersebar dalam kalangan anak muda pada tahun 90-an hanya dianggap sebagai kotor dan ganas. Sekitar tahun berkenaan, karya-karya muzik yang dimainkan hanya berada pada tahap ‘underground’. Band-band pula secara berdikari mencipta dan menulis lirik lagu, memainkannya di gig-gig.
Bagaimanapun, pendengar mula bijak untuk mencari pilihan atau alternatif muzik yang ketika itu dimonopoli oleh melodi muzik tangkap leleh dan rock kapak. Ketika itu, ramai mula terpengaruh dengan muzik indie yang sepenuhnya ‘underground’ kerana lirik, melodi dan imej yang dibawa band-band adalah unik dan tersendiri.

Antara band terawal yang berjaya meraih perhatian umum atau ‘mainstream’ adalah OAG dan Butterfingers. Jika dilihat pada persembahan dan lirik yang dibawa band Butterfingers, mereka lebih memartabatkan imej Melayu dan jika didengar bait-bait nyanyian lirik, ia dinanyikan dengan bersahaja dan disebut seolah-olah seperti percakapan. Imej itu mungkin menjadi daya penarik kepada pendengar. Dalam pada itu, OAG pula mula popular menerusi 60’s TV sehingga melonjak naik nama mereka. Jika peminat filem negara masih ingat, lagu OAG, Slumber juga diselitkan dalam babak awal filem ‘Gila-Gila Pengantin’ pada tahun 2003.
Bagaimanapun, senario itu tidak berpanjangan dan kebanyakan pemerhati industri muzik negara berpandangan muzik berkenaan akan pupus dan tidak mampu ‘survive’ bagi jangka masa panjang. Tetapi sekitar tahun 2005-2006, muzik indie mula menerima sinar baharu, apabila karya-karya band indie mula disiarkan di aliran media perdana seperti radio, rancangan TV, majalah dan pelbagai lagi.
Kebangkitan indie menjadi pilihan lain buat pendengar muzik yang ingin lari daripada karya-karya band Indonesia yang telah mengungguli kebanyakan carta lagu radio Malaysia. Anak-anak muda mahukan santapan muzik yang berlainan, dan ramai mula pergi ke gig-gig untuk menikmati karya indie sambil ‘head-banging’ dan ‘moshing’.

Bukan itu sahaja, filem Kami telah berjaya melonjak naik elemen indie, dan ketika itu juga antara band yang popular dalam aliran ‘mainstream’ adalah Hujan, Bunkface dan Meet Uncle Hussein (MUH).

Sekitar tahun 2009, sejarah tercipta apabila MUH memenangi Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL23). Pemain industri muzik negara perlu terima hakikat bahawa indie mula diterima dengan meluas untuk memenuhi naluri karya muzik pendengar dan kebosanan terhadap karya ‘mainstream’. Ini sekali gus membuka ruang luas buat band-band indie untuk keluar menyebarkan kreativiti mereka.
Terkini, lebih banyak nama-nama band indie mula berserakan dalam aliran ‘mainstream’. Masih ingat dengan fenomena lagu Dinda oleh Kugiran Masdo? Walaupun segelintir berpendapat bahawa karya-karya lain Kugiran Masdo tidak sehebat mana, namun Dinda berjaya meraih minat mainstream, mungkin kerana melodi yang senang diikut dan lirik ‘catchy’.

Kebangkitan ini berikutan pendengar mula dahaga akan kelainan selain daripada karya muzik Budak Baru Nak Up (BBNU) yang semakin berlambak. Pendengar bosan dengan muzik BBNU yang lebih berkisarkan emosi dan melodi juga tidak mampu bertahan sehingga berdekad lama, tidak seperti karya-karya pemuzik tahun 90-an yang masih terbenam dalam ingatan sehingga hari ini.
Perkongsian ini bukannya ingin mengecam kepada karya muzik aliran ‘mainstream’, tetapi anak muda terutamanya mereka yang gemarkan karya seni perlu berani bereksperimen dengan lirik dan melodi yang lebih cerdik. Karya ‘mainstream’ kini dilihat seolah-olah melepas syarat untuk menjadi penghalwa telinga kepada pendengar, dan terikut-ikut dengan muzik bermain emosi. Sedangkan, karya muzik juga boleh dijadikan satu alat untuk ‘mencerdikkan’ komuniti.

Tidak semua karya indie sedap didengar dan ada juga yang sampah, dan tidak semua karya mainstream ‘lame’ dan ‘cliche’, tetapi pendengar tegar industri muzik dahagakan karya yang bereksperimentasi dengan daya pemikiran jauh, dan bukan sekadar sedap didengar.
What's Your Reaction?

Pengalaman hanya dua tahun dalam industri kewartawan belum cukup untuk menyampaikan berita berinformasi kepada pembaca. Posisi sebagai 'Malay Journalist' di Techcryption merupakan pembaharuan berlainan dalam menyelami masa depan teknologi dunia.