Now Reading
Ransomware Kripto: Penubuhan Pusat Global Langkah Terbaik?

Ransomware Kripto: Penubuhan Pusat Global Langkah Terbaik?

Kecanggihan teknologi membantu dalam mengatasi pelbagai isu sedia ada yang dihadapi manusia. Antaranya adalah kaedah pembayaran pantas. Seiring langkah pakar mengeluarkan sistem alternatif pembayaran di mana lahirnya mata wang kripto, dengan itu serangan siber seperti tebusan perisian (ransomware), penggodaman dan sebagainya turut mencatatkan peningkatan.

Sejak tiga tahun lalu, serangan malware dan tebusan perisian menjadi perhatian utama bagi kebanyakan pemain industri dan bermula 2016 hingga terkini, serangan ‘ransomware’ sahaja telah mencatatkan kes sebanyak 1.5 juta di seluruh dunia, menurut statistik Homeland Security, Amerika Syarikat.

Dalang disebalik serangan berkenaan bukan sahaja tangkas dan pantas mempelajari teknik kriptografi untuk menjangkiti peranti pengguna bagi meraih wang tebusan, malah kajian mendapati adalah mustahil untuk mendapatkan kembali data yang terkena serangan, selain terpaksa membayar penjenayah siber berkenaan.

Pakar melihat sekiranya trend ini berterusan, dunia dijangkakan mengalami kerugian sebanyak $6 trilion menjelang tahun 2021.

FBI Saran Bayar Sahaja Wang Tebusan?

Ramai berdebat supaya mangsa perlu berani untuk tidak membayar wang tebusan, namun kebanyakan melihat langkah ini akan lebih memburukkan keadaan. Disebabkan itu FBI juga mengambil pendekatan untuk menyarankan mangsa supaya membayar sahaja wang tebusan kepada penjenayah untuk mengembalikan data.

Melihat kembali kepada kejadian menimpa bandar Baltimore yang menjadi mangsa serangan ransomware, para pemimpin bertindak untuk membayar wang tebusan sebanyak $6 juta bernilai Bitcoin kepada penjenayah. Persoalannya, adakah data tersebut dikembalikan sepenuhnya?

Sejauh Mana Keberkesanan Langkah Pencegahan Terkini

Para penyelidik dan pemain industri giat mewujudkan alatan dan sistem mencegah serangan siber. Antara sistem-sistem yang berjaya dihasilkan adalah:

  • CryptoDrop: – Mengimbas fail untuk mengesan sebarang aktiviti mencurigakan dan akan menyekat aktiviti kod ‘malware’ sekiranya dijumpai.
  • ShieldFS: – Menganalisis aktiviti sistem fail bertahap rendah untuk mewujudkan penanda aras sistem fail.
  • PayBreak: – Mewujudkan sesi simetrik yang meniru kunci enkripsi ransomware bagi mengembalikan data yang diserang.

Sistem mencegah yang dicipta oleh pakar membantu mengurangkan kejadian ransomware, namun sejauh mana keberkesanan dan sampai bila ia masih relevan menjadi persoalan. Disebabkan itu segala kepakaran dan pengetahuan yang ada perlu disatukan bagi menyumbang kepada kerangka strategi pencegahan.

Pusat Global Cegah Ransomeware

Sebuah kajian yang dijalankan oleh empat penyelidik, Murat Ozer, Said Varlioglu, Bilal Gonen dan Mehmet F. Bastug melihat dunia memerlukan satu pusat global yang mengumpul maklumat mengenai serangan siber sekali gus merancang kepada strategi pencegahan.

See Also

Tidak semua kes ransomware dilaporkan kepada pihak berkuasa, oleh itu maklumat kes yang terkumpul juga tidak menyeluruh seperti cara serangan, jenis pelaksanaan enkripsi ransomware dan alamat Bitcoin yang diserang.

Bukan itu sahaja, dalam kebanyakan kes, mangsa bertindak untuk meminta bantuan daripada syarikat pakar dalam kes berkaitan. Namun sebaliknya berlaku apabila pihak syarikat bertindak untuk membayar wang tebusan dan perkara itu tidak dilaporkan kepada pihak perundangan atau berkuasa.

Coin Terakhir Kami

Aktiviti ransomware akan berterusan berlaku dan penjenayah akan sentiasa meningkatkan kaedah ‘permainan’ mereka. Sekiranya maklumat kes yang terkumpul tidak dibawa ke bawah satu pengawasan utama, sistem pencegahan akan sentiasa berada di belakang. Seperti mana di Amerika Syarikat, FBI cuba memainkan peranan utama dalam menyiasat serangan ransomware, namun maklumat yang diperoleh disimpan secara sulit tanpa rundingan bersama-sama pakar untuk penghasilan langkah pencegahan lebih baik.

Disebabkan itu, pusat global yang terdiri daripada pelbagai pakar dan golongan pemikir berhubung ransomware adalah penting dan akan membantu membanteras aktiviti ini daripada berterusan.

What's Your Reaction?
Angry
0
Confused
0
Excited
0
Happy
0
Okay
0
Sad
0

© 2019 Issue Magazine Wordpress Theme. All Rights Reserved.

Scroll To Top