Now Reading
Apa Itu Mimblewimble?

Apa Itu Mimblewimble?

Apa itu MimbleWimble-techcryption

Asal Usul Nama

Mimblewimble (MW) adalah sebuah rekaan protokol blockchain menerusi satu Kertas Putih yang diterbitkan pada 2016. Percaya atau tidak, nama Mimblewimble diambil daripada sejenis jampi dalam kisah Harry Potter. Lebih menarik lagi adalah pereka sistem MW ini menggunakan nama samaran Tom Elvis Judisor iaitu nama Voldemort.

Pada hujung tahun 2016, sebuah projek Github diwujudkan bagi pembangunan sistem MW melalui Grin. Grin adalah sebuah platform perisian yang menggunakan sistem MW dan memenuhi kekurangan yang diperlukan untuk pelaksanaan blockchain dan mata wang kripto. Pencetus projek ini juga menggunakan nama samaran berkaitan Harry Potter, iaitu Ignotus Peverell pemilik asal Jubah Halimunan.

Kelainan Mimblewimble

Untuk memahami kelebihan dan kelainan yang dimiliki oleh protokol MW, contoh asas Bitcoin (BTC) akan digunakan.

Alice hantar 1 BTC kepada Bob.

Sifat mata wang kripto seperti BTC melihat bahawa setiap jumlah kecil BTC mempunyai rekod transaksi. Oleh itu, sebelum Alice menghantar 1 BTC kepada Bob, sistem akan mengenalpasti dari mana 1 BTC milik Alice diterima sebelum ini. Ia mungkin dihantar secara terus atau daripada beberapa sumber lain untuk mengenalpasti sama ada kewujudan jumlah BTC itu benar-benar sah.

Jadi, transaksi BTC milik Alice dapat dilihat dan dijejaki oleh sesiapa sahaja melalui peneroka transaksi sedia ada. Ini menunjukkan tiada privasi pengguna semasa transaksi diproses. Inilah kelemahan yang cuba diperbaiki oleh protokol MW.

Protokol MW memperbaiki transaksi dengan menggunakan Confidential Transactions dan Cut Through.

Confidential Transaction

Fungsi Confidential Transaction dalam protokol MW adalah untuk melindungi privasi transaksi pengguna. Jika dalam contoh sebelum ini, sumber asal BTC yang dimiliki oleh Alice boleh dilihat dan dijejaki secara umum, fungsi ini dapat melindungi dan menyembunyikan maklumat tersebut.

Cut Through

Fungsi Cut Through pula memampatkan data setiap transaksi untuk proses pengesahan. Selain itu, kelebihan ini membuatkan saiz data untuk setiap transaksi lebih rendah daripada protokol biasa BTC. Fungsi ini akan membuatkan saiz blockchain lebih kecil dan ringan.

Blockchain Protokol Mimblewimble

See Also

Setakat ini wujud dua jenis blockchain yang menggunakan protokol MW, iaitu Grin dan Beam. Walaupun begitu, kedua-dua blockchain ini memiliki perbezaan yang ketara dari segi penggunaan dan fungsi.

GRIN

Grin dibangunkan sejak lewat 2016 dan melancarkan mainnet mereka pada awal tahun 2019. Grin dibangunkan dan mendapat dana dari komuniti Grin sendiri. Penggunaan Grin lebih sesuai untuk pengguna yang lebih teknikal. Bahasa kod program yang digunakan untuk Grin adalah Rust. Idea Grin adalah untuk menggalakkan mata wang kripto mereka digunakan. Bagi miner, Grin menggunakan algoritma Equihash bertujuan untuk menyekat penggunaan ‘application-specific integrated circuit’ (ASIC) atau peranti khusus untuk jangka masa panjang.

BEAM

Berbeza dengan GRIN, BEAM ditubuhkan secara korporat dengan mendapatkan dana melalui permodalan bersama. Namun, BEAM akan bertukar kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan dan merancang untuk membangunkan perisian yang dapat membantu perniagaan lain. BEAM direka untuk lebih mesra pengguna. C++ adalah bahasa kod yang digunakan untuk membentuk platform itu. Tujuan utama BEAM adalah menawarkan simpanan nilai yang tersembunyi. Dari segi mining pula, BEAM juga merancang untuk menjadi kalis peranti ASIC dengan memberi miner GPU kelebihan mining 12 bulan.

Kesimpulan

Protokol WM memiliki kelebihan yang lebih baik daripada blockchain Bitcoin dan menunjukkan kemampuan teknologi blockchain untuk berkembang. Persoalan utama untuk protokol ini adalah kebolehannya untuk digunakan dalam dunia sebenar. Jadi, GRIN dan BEAM akan menjadi contoh terbaik penggunaan kedua-dua platform ini. Sejauh mana protokol ini mampu pergi? Hanya masa menentukan.

What's Your Reaction?
Angry
0
Confused
0
Excited
0
Happy
0
Okay
0
Sad
0

© 2019 Issue Magazine Wordpress Theme. All Rights Reserved.

Scroll To Top